TAWAU : Masalah bekalan air, kemudahan jalan utama serta jalan pertanian dikenal pasti gagal diselesaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Ghani selepas lima tahun melompat menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Wira WARISAN Bahagian Kalabakan Shaharizan Jikirun berkata, ADUN Sebatik ini juga gagal memberikan peluang meningkatkan ekonomi kepada penduduk khususnya di kawasan Pulau Sebatik.
Katanya, beliau juga gagal menunaikan janji untuk membna Sebuah Klinik Kesihatan di Pulau Sebatik seperti mana yang dijanjikannya sebelum ini.
“Lebih mendukacitakan, ADUN Sebatik ini masih lagi berjanji untuk melaksanakannya walaupun tempoh penggal DUN akan berakhir dalam tempoh terdekat.
“Kita juga melihat beliau juga gagal untuk menaik taraf jeti awam yang kebanyakannya sudah uzur sekali gus dikenal pasti tidak selamat untuk digunakan oleh penduduk di Pulau Sebatik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shaharizan merupakan Exco Wira WARISAN Negeri berkata, ADUN Sebatik ini kelihatan begitu bermewah-mewah di Kota Kinabalu serta mengabaikan masalah penduduk di Pulau Sebatik.
“Nasihat kita, rajin-rajinlah datang ke Pulau Sebatik….Jangan hanya dekat Pilihan Raya Negeri (PRN) baru muncul menemui rakyat di kawasannya.
“Kita mendapati, kebanyakan program di kawasan ADUN Sebati ini, beliau hanya menghantar wakil sahaja.
“Kita juga mempersoalkan ke mana perginya peruntukan bernilai RM3 juta setahun,” jelas Shaharizan.
Menurutnya, beliau mengesa agar Suruhanjaya Pengecahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat setiap projek yang telah di laksanakan di DUN Sebatik ini.