SANDAKAN : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan lima individu termasuk bekas pegawai dari institusi kewangan kerana disyaki menerima suapan bernilai RM300,000 daripada pemilik syarikat.
Ini merupakan sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan dengan menggunakan dokumen sokongan palsu.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 20 – 40an itu telah ditahan sekitar jam 2.00 hingga 7.00 petang hari ini di Pejabat SPRM Sandakan.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti rasuah tersebut sejak tahun 2022 hingga 2024, melibatkan kelulusan pinjaman bernilai keseluruhan RM11.2 juta kepada 39 pemohon.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut. Beliau memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 kerana menerima suapan sebagai dorongan untuk melakukan sesuatu perbuatan berkaitan tugas rasmi.
Menurutnya, penahanan ini adalah hasil kerjasama antara pihak SPRM Sabah dengan Unit Audit Dalaman salah sebuah Institusi kewangan tempatan.
Permohonan reman terhadap kesemua suspek juga akan dibuat di Mahkamah Sesyen Sandakan pada hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.