PRN Sabah: GRS Bersedia Hadapi Kemungkinan Tanding Secara Solo – Joniston

KIULU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mesti bersedia menghadapi kemungkinan, termasuk bertanding secara solo seperti dinyatakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, Hajiji sebelum ini GRS bersedia bergerak sendiri selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menandatangani deklarasi untuk bekerjasama dalam PRN Sabah  dianggap sebagai satu tindakan menyisihkan GRS.

Katanya, pertembungan terbuka mungkin menjadi rahmat yang tersembunyi kerana ia memberi peluang kepada rakyat Sabah untuk memilih antara gabungan parti tempatan dan gabungan parti yang berpangkalan di Semenanjung.

“Rakyat Sabah boleh menjadikan pilihan raya negeri akan datang sebagai referendum untuk memilih antara GRS yang berpangkalan di Sabah, Barisan Nasional yang diketuai Umno, Pakatan Harapan dan Parti Warisan serta rakan sekutunya,.

“Ini adalah ujian jelas sama ada kita mahu dipimpin oleh pemimpin dari parti tempatan atau oleh mereka yang tunduk kepada arahan parti yang berpusat di Kuala Lumpur,” katanya di sini semalam.

Joniston berkata, GRS membuktikan gabungan yang berpangkalan di Sabah mampu membawa pembangunan bermakna sambil menjalin kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan.

“Sebagai contoh walaupun GRS berpangkalan di Sabah menerajui Kerajaan Negeri, ia tetap menjalin hubungan kerja yang baik dengan Putrajaya di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pemberian khas tahunan Persekutuan meningkat daripada RM53 juta semasa Warisan memerintah kepada RM600 juta di bawah pentadbiran GRS,” jelas Joniston.

Beliau turut menyentuh mengenai gerakan politik lampau yang melibatkan Umno-BN, Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM),menyifatkan percubaan menjatuhkan Ketua Menteri Januari 2023 sebagai tindakan bermotif politik yang tidak baik dan merosakkan.

“Isu itu bukan tentang kepimpinan, tetapi mengenai penguasaan dan kepentingan sendiri.

“Pengundi perlu mengambil iktibar daripada cubaan rampasan kuasa pada Januari 2023 dan memilih kestabilan berbanding permainan politik,” katanya.