WARISAN Sahkan Bergabung Bersama Rakyat Dalam PRN Sabah – Loretto

KOTA KINABALU : Parti Warisan (WARISAN) mengesahkan akan bertanding secara solo serta menggunakan logo parti sendiri sekali gus tidak akan menyertai mana-mana gabungan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Setiausaha Agungnya, Datuk Loretto Padua Jr berkata, pihaknya kini sedang giat membuat persiapan untuk menghadapi PRN Sabah dijalankan dalam tempoh terdekat.

Katanya, WARISAN menafikan khabar angin mendakwa mereka akan menyertai GRS atau membuat rundingan di belakang tabir adalah tidak benar.

“Itu semua adalah pembohongan yang sengaja disebarkan di media sosial untuk mengelirukan rakyat.

“Pendirian kami jelas iaitu gabungan WARISAN ialah bersama rakyat. Kami tidak akan terlibat dalam permainan politik yang sedang berlaku. Perjuangan kami adalah demi hak dan masa depan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Loretto berkata, beliau mendakwa cerita seumpama ini sengaja dicipta untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar seperti kenaikan kos sara hidup.

“Ini termasuk masalah bekalan air dan elektrik, peluang pekerjaan serta hak kawalan yang adil terhadap sumber negeri sendiri.

“Saya turut kesal apabila institusi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri turut dikaitkan dalam khabar angin politik ini,” jelas Lorreto.

Menurutnya, TYT adalah institusi yang bebas daripada politik dan sudah semestinya perlu dihormati oleh semua pihak.

“Jangan sesekali menjadikan TYT sebagai alat untuk meraih keuntungan politik.

“Kita menyeru kepada rakyat Sabah agar kekal fokus dan tidak mudah terpedaya dengan dakwaan seumpama itu,” katanya.

Beliau berkata, pilihan raya kali ini adalah tentang memilih pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang untuk Sabah dan bukan mereka yang hanya pandai bermain politik.

“WARISAN sejak awal lagi konsisten sebagai satu-satunya parti pembangkang di Sabah. Gabungan bukan jawapannya kerana masa depan negeri ini memerlukan satu gerakan yang tegas dan berteraskan rakyat.

“Kami akan terus bersama rakyat dan bukan bersama elit politik,” katanya.