KOTA KINABALU: Bagi membuktikan bahawa terdapat keikhlasan dan kerjasama politik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah di peringkat akar umbi, amatlah penting untuk pihak Kerajaan Negeri untuk melaksanakan formula 60:40.
Formula ini telah dilaksanakan oleh wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri Kadamaian Datuk Ewon Benedict.
Ketua Penerangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Dr Peter Jr Naintin berkata rakyat tidak perlu tunggu sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025 dan dasar ini boleh dilaksanakan dengan semangat perkongsian bagi parti politik yang menyokong Kerajaan Negeri demi perpaduan rakyat di akar umbi.
Katanya rakyat mendapat maklumat bahawa tempoh perkhidmatan pegawai-pegawai di Mahkamah Anak Negeri (MAN) di seluruh Sabah akan berakhir pada hujung tahun 2023 ini.
Menurutnya terdapat jawatan seperti Ketua Daerah (KD), Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Ketua Masyarakat Cina, dan Ketua Kampung (KK) untuk dipohon atau dicadangkan dan dipertimbangkan disetiap daerah oleh Wakil Rakyat parti komponen Kerajaan Negeri.
“Pihak MAN telah berkongsi Borang Permohonan rujukan KUHEAN:100-0/3Jld/1(13) Semakan Ogos 2018 untuk para pemimpin tempatan memohon jawatan-jawatan tersebut.
“Ini bermaksud bahawa pelantikan bagi jawatan-jawatan ini nanti adalah untuk tempoh masa sekurang-kurangnya dua tahun (2024-2025), iaitu sehingga PRN Sabah yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Bahagian UPKO Libaran berkata ini akan menjadi kriteria yang penting untuk menunjukkan tahap perkhidmatan, pelaksanaan dan penambahbaikan mampu dilaksanakan di peringkat akar umbi.
Tambahnya sekiranya terdapat beberapa calon yang berkebolehan untuk jawatan-jawatan tersebut, saya mensyorkan pihak Kerajaan untuk meluluskan mekanisma pemilihan secara undian oleh penduduk setempat.
Katanya inilah masa yang sesuai untuk Rakyat memilih pemimpin mereka yang mempunyai pendidikan, pengalaman dan kebolehan untuk menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka di peringkat kampung dan daerah.
“Selain daripada undian menggunakan kertas undi, salah satu cara yang boleh kita lakukan ialah dengan kaedah undian secara elektronik (QR Code) seperti yang dijalankan untuk memilih pemimpin muda bagi Program Dewan Belia Sabah oleh pihak Kerajaan baru-baru ini,” katanya.
Peter berkata sejak Krisis Politik Sabah yang berlaku pada awal tahun 2023, Rakyat yang berpendapat bahawa PH Sabah memilih untuk menyokong Kerajaan Sabah yang terbentuk pada ketika itu adalah untuk menjaga dan memelihara kestabilan politik di Sabah.
Menurutnya dengan adanya kestabilan tersebut, pihak Kerajaan Negeri mampu untuk fokus, menarik lebih ramai pelabur dalam dan luar untuk pembangunan ekonomi dan sosial.