KOTA KINABALU: Seorang pemilik syarikat ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah disyaki mengemukakan tuntutan palsu berkaitan set pembekalan peralatan penyelaman berjumlah kira-kira RM18,000.
Menurut sumber, pemilik syarikat yang berusia lingkungan 40an itu ditahan semalam kira-kira jam 11 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Beliau berkata, suspek lelaki dipercayai membuat tuntutan palsu pada 2019 sedangkan tiada pembekalan dibuat kepada sebuah lembaga pemegang amanah di Sabah.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.