SANDAKAN : Ahli jawatankuasa Pertubuhan Amal Anak Jati Sandakan (PAAJS) telah mengadakan lawatan amal ke Tabika Kampung Sungai Daling, Batu 12, dekat sini, hari ini.
Pengerusinya, Muhammad Zaid Mustapah berkata, lawatan prihatin itu antara lain bagi mengetahui lebih lanjut mengenai keperluan umum masyarakat.
Katanya semasa lawatan itu, mereka turut meninjau persekitaran bangunan pmbelajaran kanak-kanak tabika di sini.
“Daripada pemerhatian yang dijalankan, mereka mendapati terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki dan ditangani bersama iaitu menggantikan pagar dawai yang rosak.
“Selain itu, aktiviti gotong-royong untuk menabur batu di sekeliling bangunan bagi menutup kawasan bertakung juga perlu dilakukan segera bagi mencegah pembiakan nyamuk,” katanya.
Katanya, kerjasama ahli pertubuhan dan masyarakat setempat juga penting dan akan cuba dilaksanakan bersama dalam menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.
Tambahnya, pihak pertubuhan juga berharap ada pihak yang prihatin untuk tampil bekerjasama dalam membantu keperluan masyarakat.
“Bukan hanya di kawasan ini, tetapi juga kawasan lain yang seumpama dan kita amat memerlukan kerjasama seperti ini dalam membantu masyarakat yang memerlukan” kata Zaid