SANDAKAN : Sandakan masih berdepan isu kekurangan penerbangan domestik dan antarabangsa meskipun pemanjangan landasan di Lapangan Terbang Sandakan sudah diatasi.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata kekurangan penerbangan dari Semenanjung dan luar negara menjadi antara kekangan dalam menarik lebih ramai pengunjung datang ke daerah ini.

“Kita telah menyuarakan perkara ini kepada Kementerian Pengangkutan dan berbincang untuk membawa lebih banyak penerbangan langsung ke Sandakan. Tidak hanya dari Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu, tetapi juga dari luar negara.
“Minggu depan kita akan ada perbincangan bersama Airasia untuk perkara ini. Beberapa lokasi berpotensi adalah negara jiran sekitar Asia iaitu Hong Kong dan Singapura,” katanya selepas merasmikan Festival Burung Borneo (BBF) 2023 di RDC Sepilok dekat sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Vivian berkata sebelum ini pihaknya telah bertemu dengan MYAirline untuk mewujudkan penerbangan ke Sandakan, namun syarikat tersebut kini sudah menggantung operasinya.
Berikutan itu, beliau berkata pihaknya perlu mencari alternatif dengan mencari syarikat penerbangan lain yang sanggup mewujudkan laluan ke Sandakan untuk menjana pendapatan dan dalam masa sama akan memberi manfaat kepada penduduk di daerah ini.
“Kita telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan beliau amat menyokong idea ini kerana kita tidak minta semua syarikat penerbangan, tetapi mensasarkan syarikat penerbangan tertentu.
“Selain Kementerian Pengangkutan, kita juga menyuarakan isu ini kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan sudah tentu syarikat penerbangan itu sendiri,” jelasnya.
BBF 2023 merupakan antara festival yang telah berjaya menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara untuk berkunjung ke Sandakan khususnya ke RDC Sepilok.
Untuk rekod, kepelbagaian tarikan di Sepilok dan kawasan sekitarnya sahaja telah berjaya menarik kira-kira 150,000 pelawat ke Sandakan.