Sebanyak 336 kes strok pesakit di Hospital Queen Elizabeth KK

KOTA KINABALU: Sebanyak 336 kes strok pesakit di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata daripada jumlah itu, 82 kes pendarahan otak dan 254 kes strok iskemia.

Katanya 174 kes adalah pesakit yang berumur 60 tahun ke atas manakala selebihnya (162 kes) adalah pesakit yang berumur di bawah 60 tahun.

Pecahan lanjut menunjukkan 51 kes adalah pesakit berumur bawah 45 tahun manakala selebihnya (285 kes) adalah pesakit berumur 45 tahun ke atas, katanya ketika merasmikan Ceramah Kesedaran Strok di sini, semalam.

Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Api Api berkata faktor risiko utama strok ialah hipertensi, merokok, kolesterol tinggi dan diabetes, manakala yang lain berkaitan dengan alkohol, gout dan penyakit arteri koronari (CAD).

Katanya tahap kesedaran strok dalam kalangan anggota masyarakat setempat pada hari ini lebih tinggi berbanding 20 atau 30 tahun lalu.

“Saya percaya peningkatan ini berpunca daripada pendidikan awam melalui ceramah dan seminar serta kempen kesedaran strok oleh pihak berkuasa kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata lebih daripada 40,000 kes strok dianggarkan berlaku setiap tahun di Malaysia, mengakibatkan hampir 14,000 kematian.

Katanya ini berdasarkan Pusat Dasar Kesihatan dan Sosial Galen yang merupakan organisasi penyelidikan dan advokasi dasar awam bebas yang berpangkalan di Malaysia.

Christina berkata strok merupakan punca kedua utama kematian dan hilang upaya di negara ini dengan ramai pesakit strok berakhir dengan hilang upaya kekal.

“Berdasarkan penyelidikan oleh Pusat Galen, enam puluh peratus pesakit strok berumur di atas 60 tahun,” katanya.

Menurutnya faktor risiko utama untuk strok termasuk hipertensi, diabetes, kolesterol tinggi dan obesiti.