Ketua masyarakat diberi amaran jangan lindungi PATI – Masiung

TONGOD; Ketua-ketua masyarakat di daerah ini akan berdepan tindakan pemecatan termasuk mengheret mereka ke Mahkamah jika terbukti melindungi Pendatang Tanpa Izin (PATI).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, memberi amaran tidak akan berkompormoi dengan mana-mana ketua adat atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) jika tidak melaporkan kewujudan PATI di kampung dibawah jagaan mereka.

“Jika ada bukti kukuh mereka bersekongkol dengan mana-mana syarikat atau majikan yang menggaji PATI, pemimpin terbabit akan dipecat serta-merta, ” katanya ketika merasmikan Program Kesedaran Keselamatan di sini, hari ini.

Masiung menegaskan hukuman berat juga bakal menanti mana-mana individu atau majikan di daerah itu yang mengambil PATI bekerja tanpa dokumen dan pas yang sah.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu mahukan setiap pemimpin dan anggota masyarakat tidak bermuslihat dengan mana agen-agen pekerjaan melibatkan PATI untuk tujuan komersial.

Justeru itu, Masiung mengesa, Ketua-ketua kampung dan JKKK hendaklah mengawasi pengusaha ladang sawit dan getah di setiap kampung supaya melaporkan kepada pihak berkuasa jika mendapati mereka menggaji pekerja di kalangan PATI.

Lebih 300 peserta terdiri daripada Ketua-ketua Kampung, pengerusi JKKK dan pemimpin setempat menghadiri program sehari anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Pejabat Daerah Tongod yang diadakan di Dewan Terbuka Dataran Tongod.

Turut mengambil bahagian dalam pameran program itu ialah Jabatan Oftalmologi Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Polis, Regimen 516 Askar Wataniah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am dan Celcom.

Hadir sama, Pegawai Daerah Tongod Nelson Domil Ulok, Ketua Wilayah MKN Kota Kinabalu Amirsyah Mohd Nor dan Ketua Wilayah (MKN) Sandakan Monday Fadzli Zainal Abidin.