KOTA KINABALU: Tiada isu ketirisan dalam pemberian subsidi beras putih import (BPI) yang diedarkan di Sabah, Sarawak dan Labuan sejak 5 Oktober lalu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin, berkata subsidi yang diberikan iaitu RM950 satu tan metrik kekal seperti diumumkan kerajaan.

Katanya, harga siling BPI yang disubsidi kerajaan itu juga kekal sebanyak RM31 bagi paket 10 kilogram di Sabah, Sarawak dan Labuan yang akan diteruskan sehingga isu bekalan beras dapat diselesaikan.
Beliau berkata, subsidi berkenaan disalurkan melalui beberapa agensi termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang mengedarkan BPI untuk jualan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
“Selain harga siling ditetapkan kerajaan, LPP turut mengadakan jualan promosi yang lebih rendah melalui program khas seperti Program Sentuhan Agro Madani dengan harga RM24 satu paket 10 kilogram.
“Maksudnya subsidi yang diberikan ialah antara RM24 hingga RM31. Subsidi disalur melalui LPP kerana pihak terlibat untuk menjual BPI ialah PPK.
“Jadi tiada isu ketirisan yang berlaku. Bagaimanapun, harga RM24 ini hanya tawaran khas, hanya harga siling RM31 kita kekalkan sampai ke masa yang kita perlu,” katanya di sini hari ini.
Katanya, sebanyak 20,000 paket 10 kilogram beras BPI dijual dengan harga RM24 sepaket kepada orang ramai sepanjang dua hari program itu yang berakhir hari ini.
Foong Hin turut menasihatkan orang ramai supaya membeli beras mengikut keperluan keluarga bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan rakyat.
Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Persekutuan dan Sabah sentiasa komited untuk bekerjasama bagi memastikan kesinambungan pembangunan sektor agromakanan.
Katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga sentiasa berusaha untuk melaksanakan pendekatan baharu menangani isu keterjaminan makanan melalui pertanian berskala besar.
“Pendekatan ini bagi meningkatkan lagi pengeluaran padi dan beras, pemodenan teknologi pertanian, pembabitan pihak swasta dan pemain industri,” katanya.
Beliau berkata, Sabah berpotensi sebagai penggerak penting dalam menampung ketersediaan bekalan makanan negara berikutan tanah dan perairan yang luas.
Program Sentuhan Agro Madani peringkat negeri Sabah itu berlangsung hingga hari ini membabitkan sebanyak 29 jabatan dan agensi di bawah KPKM serta kementerian lain serta negeri.
Selain beras, pelbagai hasil pertanian dan perikanan serta industri asas tani turut dijual oleh usahawan LPP dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).