Hanya minta penjelasan bukan berburuk sangka kepada Hajiji Noor isu tanah di Kudat – Jeffrey Nor

KOTA KINABALU: “Saya hanya meminta penjelasan bukan bersikap berburuk sangka kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkaitan isu tanah 968.4 hektar milik Yayasan Sabah di Kudat,” jelas Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed.

Ia bagi menjawab kenyataan Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Tan Sri Pandikar Amin Mulia menuduhnya berburuk sangka kepada Ketua Menteri, adalah tidak tepat serta sangat tidak wajar.

“Saya tidak pernah buruk sangka kepada Ketua Menteri. Saya hanya mahu meminta penjelasan berikutan isu ini melibatkan hak rakyat negeri Sabah sentiasa terpelihara dengan sebaik-baiknya.

“Sebagai pemimpin dalam zaman kini PPandikar) kena harus bersikap terbuka apa lagi dalam dunia media sosial yang cukup luar biasa sekarang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jeffrey Nor merupakan Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO negeri Sabah mengulas kenyataan Tan Sri Pandikar Amin Mulia kononnya beliau tanpa menyelidik kebenaran dakwaan yang tular dalam media sosial terlebih dahulu, adalah satu tindakan yang tidak matang.

Dalam kenyataan itu Pandikar juga menyebut Jeffrey Nor tidak layak menjadi sebagai pemimpin kerana sentiasa berburuk sangka serta pemimpin parti yang semakin merundum sekarang.

Dalam perkembangan sama Jeffrey Nor berkata, sepatutnya Pandikar perlu membaca secara keseluruhan kandungan kenyataan medianya sebelum membuat tuduhan liar terhadapnya.

“Jika kenyataan media mengaitkan Ketua Menteri itu tidak betul atau palsu sepatutnya mereka (Hajiji Noor) sendiri perlu membuat penafian agar rakyat tidak keliru berkaitan isu tersebut.

“Inilah masalah kita zaman kini, masih ada wujud cara pemikiran politik lama (old politics mind) masih terbawa-bawa sampai sekarang,” jelas Jeffrey Nor.