LABUAN: Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Labuan (LCCC), Datuk Wong Kii Yii mengesa Kerajaan Madani di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pelaksanaan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus di tangguhkan untuk Wilayah Persekutuan Labuan.
Ini kerana, katanya, Wilayah Persekutuan Labuan masih berdepan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu dan sebahagian besar rakyat Labuan terutamanya golongan B40 akan bertambah derita dengan kenaikkan harga barangan.
“Kerajaan perlu sedar bahawa Labuan ketika ini berhadapan dengan kos sara hidup yang lebih tinggi berbanding dengan negeri negeri lain…dan jika SST terus dilaksanakan sudah tentu harga barangan di Labuan juga akan turut naik dan ini sudah tentu menambah beban rakyat Labuan secara keseluruhannya….kenaikan cukai SST boleh, tetapi bukan sekarang,” katanya kepada media di sini, kelmarin.
Beliau berkata, walaupun makanan dan minuman serta komunikasi dikecualikan daripada kenaikan kadar SST, namun rakyat Labuan masih perlu membayar kos asas lain seperti pembayaran insuran, kad kredit, perubatan, logistik, tiket penerbangan dan penginapan termasuk perkhidmatan yang melibatkan perundangan dan guaman.
“Bayangkan kepada golongan B40 atau keluarga yang tidak mempunyai pekerjaan yang tetap tetapi yang mempunyai anak ramai yang masih bersekolah tentu mereka tidak dapat menikmati kesejahteraan hidup yang lebih harmoni.
Justeru itu, katanya, pihak LCCC merayu kepada kerajaan agar pelaksanaan SST yang dinaikkan daripada enam peratus kepada lapan peratus untuk Wilayah Persekutuan Labuan ditangguhkan sehinggalah ekonomi Labuan benar benar stabil.