SANDAKAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dengan membuat pemantauan dan pemeriksaan kedudukan bekalan barang keperluan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit di daerah ini secara berterusan.
Ketua Pegawai Penguat kuasa Daerah KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, ia adalah sebagai inisiatif berikutan menjelangnya bulan Ramadhan dan perayaan Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.
Katanya, seramai 19 orang Pegawai Penguatkuasa dan lapan Pegawai Pemantau Harga terlibat secara khusus bagi melakukan pemeriksaan harian khususnya di lokasi tumpuan pengguna berbelanja yang meliputi kawasan bandar dan luar bandar di Sandakan.
“Semalam, saya sendiri telah mengetuai pemeriksaan ke atas barangan kawalan terutama gula dan minyak masak bersubsidi di peringkat pengilang (repackers), pemborong dan peruncit di sekitar kawasan tumpuan utama pengguna di daerah ini.
“Pemeriksaan di salah sebuah syarikat pemborong mendapati pihaknya telah menerima bekalan gula sebanyak 84 metrik tan dan dijangka akan menerima bekalan lagi sebanyak 48 metrik tan gula pada hari ini (28 Februari).
“Selanjutnya pemeriksaan ke atas bekalan minyak masak bersubsidi di salah sebuah pasar raya tumpuan pengguna daerah ini mendapati ada bekalan minyak masak bersubsidi berjumlah 3.568 metrik tan,” jelasnya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyatakan hasil pemeriksaan mendapati bekalan barang kawalan tersebut adalah mencukupi dan tidak ada pembelian luar biasa oleh para pengguna.
Menurut beliau, Pegawai Pemantau Harga Pejabat Cawangan KPDN Sandakan yang membuat pemantauan harga barangan setiap hari di dua buah pasar basah, empat buah hypermarket, tiga pasar raya dan sebuah kedai runcit di daerah Sandakan juga setakat ini melaporkan tidak berlaku pembelian panik di premis-premis terbabit.
Di samping itu, katanya, KPDN Sandakan juga telah melantik 33 peruncit daerah terpilih [Dedicated District Retailers (DDR)] dan 5 pemborong daerah terpilih [Dedicated District Wholesalers (DDW)] di Sandakan bagi tujuan pemantauan kedudukan bekalan barangan keperluan asas di daerah ini.
Azdy menambah kedudukan bekalan barang keperluan asas di DDR dan DDW yang dilantik di daerah Sandakan ini akan menjadi penanda aras (benchmark) ke atas bekalan barang keperluan asas di daerah berkenaan yang meliputi Sandakan, Kinabatangan, Telupid, Beluran, Sapi Nangoh dan Paitan.
Menurutnya KPDN Sandakan juga telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan mini stok untuk gula dan minyak masak bersubsidi di setiap pemborong gula dan pengilang (repackers) minyak masak bersubsidi di Sandakan bagi menjamin bekalan yang berterusan kedua-dua barang kawalan terbabit khususnya untuk pengguna setempat.
Beliau berkata Berdasarkan maklumat pemeriksaan di 33 DDR di Sandakan sehingga 27 Februari 2024, jumlah stok gula adalah sebanyak 67.143 metrik tan manakala jumlah stok minyak masak bersubsidi adalah sebanyak 16.505 metrik tan.
“Jumlah stok gula di kelima-lima DDW di Sandakan pula adalah sebanyak 410.652 metrik tan manakala bekalan mini stok gula adalah sebanyak 90 metrik tan,” kata Azdy.