Ketua penerangan bahagian, jelaskan kejayaan kerajaan dicapai kepada rakyat – Hajiji

KOTA KINABALU : Ketua-ketua penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di peringkat bahagian diminta menjelaskan semua kejayaan inisiatif kerajaan hari ini yang telah dicapai kepada rakyat di negeri ini.

Presiden Parti Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, program hari ini adalah untuk ketua-ketua penerangan memperkemaskan jentera parti itu.

“Program ini adalah khusus untuk semua ketua-ketua parti di peringkat bahagian, tujuannya untuk memperkemas jentera parti kerana tempoh kita tidak lama lagi, tempoh kerajaan yang ada pada hari ini hingga bulan Oktober tahun depan.

“Jadi ini perkara biasa kita panggil kursus untuk memastikan semua jentera kita lebih teratur untuk menghadapi pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Hajiji merupakan Ketua Menteri Sabah berkata, tiada isu lain cuma soal memberi penerangan mengenai inisiatif-inisiatif yang telah dicapai oleh kerajaan hari ini.

“Program ini soal penerangan, kita minta kepada mereka (ketua-ketua penerangan) untuk menjelaskan kepada rakyat insiatif-inisiatif yang telah dicapai oleh kerajaan yang ada pada hari ini.

“Kerana banyak inisiatif ,kejayaan kita belum dapat disampaikan kepada peringkat bawah, ada yang tidak mengetahuipun, jadi inilah tanggungjawab mereka,” jelas Hajiji.

Menurutnya, Ketua Penerangan mesti menjelaskan kepada rakyat pencapaian kerajaan apa yang sudah dibuat, apa yang sudah dibantu kepada rakyat.

“Khususnha apa bantuan disampaikan kepada orang miskin dan sebagainya, bagaimana nilai pelaburan yang masuk sejak kita memerintah serta peluang-peluang pekerjaan yang beribu-ribu sudah rakyat kita dapat dan sebagainya, ini penting,” tegasnya.

Selain itu beliau turut meminta agar ketua-ketua penerangan parti dapat menangkis segala fitnah yang dilemparkan kepada kerajaan hari ini.

“Mereka juga perlu menangkis fitnah-fitnah dan pembohongan-pembohongan yang tersebar di media sosial, itu perlu juga ditangani, kalau tidak nanti rakyat percaya sedangkan ia tidak betul, jadi itu tugas ketua penerangan di semua peringkat,” kata Hajiji.