KOTA MARUDU : Seramai 45 orang mangsa terselamat selepas terperangkap dalam kejadian kepala air ketika mengikuti pertandingan memancing di Kolam Batu Gajah, Jalan Tandek Kampung Longob di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat berkata, sebelum kejadian, kesemua mangsa sedang mengikuti aktiviti pertandingan memancing di kolam berhampiran.
Katanya, pihaknya terpaksa menggunakan tali serta tangga untuk menyelamatkan semua mangsa selepas jambatan sungai tersebut rosak dibawa arus deras.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan 4.11 petang tadi berhubung kejadian mangsa terperangkap akibat kejadian kepala air di kawasan seberang sungai.
“Pasukan Bomba bersama kekuatan tujuh anggota diketuai Komander Dusin Sagaron menyelamatkan 45 mangsa terdiri 23 lelaki manakala 15 perempuan serta tujuh kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut jurucakap tersebut, selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 6.47 petang tadi.