KOTA KINABALU: Hasrat Parti Bangsa Malaysia (PBM) bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dilihat akan mengeruhkan hubungan erat antara Sabah dan Sarawak.
Naib Presiden Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, secara peribadi beliau berpandangan, niat PBM itu lebih bersifat merosakkan hubungan persefahaman kedua-dua negeri dalam membentuk pakatan ‘Blok Borneo’.
Katanya, tindakan dilakukan PBM boleh mengeruhkan hubungan baik antara rakyat dan pemimpin Sabah dan Sarawak.
” Ini bukan pandangan Gagasan Rakyat, namun secara peribadi saya nyatakan cadangan PBM itu berniat jahat untuk mencetuskan pergolakan politik pemimpin kedua-dua negeri berjiran, ” katanya dalam kenyataan media hari ini.
PBM yang bertapak di Sarawak akan melebarkan sayap ke Sabah untuk bertanding di tujuh kawasan dalam PRN Sabah ke-17 akan datang.
Semalam, Presiden PBM, Datuk Larry Sng mengumumkan parti itu berminat meletakkan calon di kawasan Kadazan, Dusun dan Murut, iaitu di Penampang, Kota Marudu, Ranau, Kota Belud, Tuaran, Putatan dan Pensiangan.
Masiung merupakan Ahli Dewan Undangam Negeri (ADUN) Kuamut, berkata, walaupun PBM bukanlah parti yang menjadi ancaman kuat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Tetapi tindakan parti itu akan menjejaskan hubungan baik yang seda wujud dalam Blok Borneo.
“Semua parti politik dalam kerajaan dan pembangkang di Sabah dan Sarawak saling menghormati pendirian Blok Borneo dan tidak meletakan calon mereka dalam PRN kedua-dua negeri,” jelas Masiung.
Menurutnya, tindakan PBM yang berpusat di Sarawak untuk mengembang sayap ke Sabah boleh mengundang perpecahan dalam persefahaman politik dalam Blok Borneo.