PAPAR : Minggu Integriti mampu memberi kesedaran semula disamping menekankan kepada keperluan integriti dalam diri sebagai penjawat awam khususnya dalam pelaksanaan tugasan dan tanggungjawab di negeri ini.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan I, Datuk Isnin Aliasnih berkata, integriti dalam kalangan penjawat awam sangat penting dalam memastikan seseorang itu bertindak secara amanah, penuh bertanggungjawab.
Katanya, selain itu tidak melibatkan konflik peribadi dalam membuat keputusan, sentiasa ada sifat telus, akauntabiliti bersandarkan kepada undang-undang serta peraturan sedia ada.
“Elemen amalan baik ini berteraskan kepada nilai murni digariskan dalam Pelan Antirasuah Organisasi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan 2021-2025 sekali gus perlu dihayati serta diamalkan oleh semua pihak, terutamanya penjawat awam.
“Hal ini sangat penting kerana apabila kita mempunyai kesedaran, percaya serta menjadikan integriti sebagai amalan seharian,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Minggu Integriti Kementerian (MIK) 2024 di sini semalam.
Isnin merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias berkata, pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dicetuskan Ketua Menteri menggariskan Kecemerlangan Tadbir Urus Yang Berintegriti sebagai pemboleh daya transformasi ke arah meningkatkan ketelusan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.
“Di peringkat negeri, usaha-usaha ini diterajui oleh Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atau lebih dikenali sebagai BIGoNS dengan memfokuskan kepada pemantapan tadbir urus integriti dan antirasuah melalui penginstitusian dasar dan polisi.
“Mempelbagaikan pendekatan yang lebih interaktif, menarik dan berkesan dalam menyuntik penghayatan dan kesedaran membudayakan integriti,” jelas Isnin.
Menurutnya, pelaksanaan Minggu Integriti Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Tahun 2024 merupakan salah satu inisiatif menyumbang kepada pemantapan pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah diselaraskan oleh Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Selain itu, usaha ini adalah selaras dengan aspirasi Ketua Menteri agar Sabah menjadi pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah di Malaysia,” tambah Isnin.