Dua bot ditahan, lakukan kesalahan akta perikanan dan kawalan bekalan

TAWAU : Dua bot tempatan ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Kawalan Bekalan 1961 dalam dua tangkapan berasingan di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda Maritim Malaysia menjalankan operasi mengesan serta memeriksa sebuah bot nelayan yang sedang menunda pukat berhampiran pantai di sekitar Perairan Tinagat kira-kira 11.05 malam.

Katanya, pemeriksaan terhadap bot nelayan pada kedudukan 1.4 batu nautika tenggara Sungai Apas mendapati seorang juragan bersama empat awak-awak lelaki warga Indonesia masing-masing berumur 19 hingga 54 tahun memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.

“Pemeriksaan selanjutnya mendapati bot tersebut telah melanggar syarat sah lesen apabila menjalankan aktiviti menunda pukat di bawah jarak 2 batu nautika daripada daratan berdasarkan kedudukan bot terbabit.

“Dalam kes berasingan, sebuah lagi bot penumpang turut ditahan dan diperiksa apabila menjalankan operasi yang sama di kedudukan 1.6 batu nautika utara Sungai Aji Kuning awal pagi semalam,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Shahrizan berkata, pemeriksaan terhadap bot terbabit mendapati membawa muatan lapan gelen bahan api jenis diesel serta petrol dianggarkan sekitar 200 liter dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

“Pihak Maritim mendapati seorang juragan warga tempatan berusia 35 tahun gagal menunjukkan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa.

“Kedua-dua bot bersama muatan serta bersama kru bot terbabit seterusnya ditahan untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana didapati melanggar syarat sah lesen,” jelas Shahrizan.

Menurutnya, kesemua barangan termasuk kedua-dua bot bersama muatan disita sehingga proses siasatan selesai membabitkan nilai rampasan keseluruhan lebih RM185,000.