Empat kontraktor dilantik siapkan Lebuhraya Pan Borneo Sabah – Shahelmey

KOTA KINABALU : Kerajaan komited memastikan penyiapan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan dilaksanakan mengikut perancangan awal sekali gus menyelesaikan kesemua baki 19 pakej kerja tersebut pada tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, setakat ini empat kontraktor sudah dilantik serta memulakan kerja-kerja pembinaan jalan raya Pan Borneo sejak April lalu.

Katanya, kaedah perolehan bagi Fasa 1B adalah melalui pra-kelayakan terbuka, hanya syarikat yang layak memenuhi kriteria pra-kelayakan peringkat pertama dipelawa mengambil bahagian dalam tender peringkat kedua.

“Langkah ini akan dapat mengurangkan masa untuk memproses serta penilaian tender. Manakala, sebanyak 15 baki pakej kerja bagi Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1B kini dalam proses penilaian akhir tender pra kelayakan terbuka.

“Pakej-pakej ini sudah siap dinilai tender dan dikemukakan ke pihak Kerajaan Persekutuan. Lembaga Perolehan Kementerian Kerja Raya Malaysia bermesyuarat pada 3 Julai lalu dan seterusnya akan mengemukakan ke Kementerian Kewangan untuk memuktamadkan keputusan,” katanya pada sesi soal jawab, Persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Shahelmey menjawab soalan Ahli Dewan  Undangan Negeri (ADUN Dilantik) Datuk Yong Teck Lee dan ADUN Elopura Calvin Chong Ket Kiun berkaitan tindakan Kerajaan Sabah mempercepatkan proses tender bagi projek Pan-Borneo seperti dikatakan Perdana Menteri pada 31 Mei di Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Negeri Sabah.

Menurutnya, Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor dijangka dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini manakala secara keseluruhan dari 35 jumlah pakej bagi Projek Pan Borneo Fasa 1A dan 1B, sebanyak empat pakej sudah siap dibina, manakala 15 pakej sedang dalam peringkat pembinaan dan 16 pakej sedang dalam peringkat perolehan.

“Kerajaan memperuntukkan RM26.3 bilion bagi menyiapkan 35 pakej kerja Pan Borneo Fasa 1 di mana kos pembinaan secara keseluruhannya adalah dianggarkan sebanyak RM18.5bilion,” jelas Shahelmey.