Sabah tubuhkan Special Task Force menoktahkan miskin tegar di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU : Kerajaan merekodkan seramai 22,510 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 94,315 Ahli Isi Rumah (AIR)  merupakan locked figure (LF) dalam sistem eKasih sekali gus menoktahkan Program Miskin Tegar di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, setakat 30 Jun ini, angka tersebut berubah kepada 5,379 KIR berstatus miskin tegar membabitkan penurunan sehingga 76.1 peratus.

Katanya, seramai 17,131 KIR berubah kepada status adalah disebabkan faktor berikut termasuk 14,146 KIR didapati berubah status kepada miskin membabitkan jumlah pendapatan isi rumah di antara RM1,218 sehingga RM2,742.

“Seramai 2,093 KIR didapati telah berubah status kepada melebihi paras miskin dengan jumlah pendapatan melebihi RM2,742, manakala seramai 477 KIR didapati meninggal dunia tapi masih dalam senarai locked figure.

“Dalam masa sama, seramai 394 KIR tidak dapat dikesan manakala seramai 21 KIR berpindah negeri, berdasarkan angka locked figure (LF) iaitu 22,510 Ketua Isi Rumah, hasil dikeluarkan oleh Menteri Ekonomi di Dewan Rakyat berkenaan lapan) daerah termiskin di Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab, Persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Hajiji menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang,  Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal bertanya apakah langkah-langkah yang diambil bagi memastikan sasaran yang ditetapkan Perdana Menteri untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah pada Julai tahun ini dapat direalisasikan.

Hajiji berkata, pelaksanaan dan penyelarasan dilaksanakan kerajaan negeri adalah berpandukan kepada data eKasih yang merupakan pangkalan data kemiskinan utama di Malaysia.

“Kerajaan negeri menyelesaikan isu kemiskinan tegar di negeri ini. Pengumuman Perdana Menteri merupakan satu kepercayaan beliau yakin kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mampu untuk menoktahkan miskin tegar berdasarkan tempoh dinyatakan.

“Meskipun kerja-kerja lapangan dibatasi oleh keadaan geografi negeri Sabah yang unik, kerajaan negeri akan tetap menyokong aspirasi Perdana Menteri untuk direalisasikan pada bulan Julai ini,” jelas Hajiji.

Menurutnya, sebagai komitmen itu kerajaan negeri mengarahkan Sekretariat Sabah Maju Jaya (Sekretariat SMJ) bersama dengan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (PPN Sabah) untuk menubuhkan Special Task Force bagi mempercepatkan agenda menoktahkan miskin tegar di negeri ini.

“Objektif utama Special Task force ini adalah pelaksanaan gerak kerja pemutihan dan profiling miskin tegar di lapangan dalam mengenal pasti status terkini Ketua Isi Rumah (KIR) berdasarkan locked figure (LF) miskin tegar.

“Sekretariat SMJ sebagai urus setia Program Menoktahkan Miskin Tegar di negeri ini akan bertindak untuk menyelaras data Ketua Isi Rumah yang berstatus miskin tegar yang telah menerima bantuan seterusnya dipadankan dengan bantuan bersesuaian,” tambah Hajiji.