Kerosakan paip akibat gelongsoran tanah punca gangguan air di Labuan

LABUAN: Gangguan bekalan air bersih yang melanda sebahagian besar kawasan di Wilayah Persekutuan Labuan dikenal pasti berpunca daripada beberapa kerosakan paip di Jalan Bukit Besar, susulan kejadian gelongsoran tanah akibat cuaca buruk.

Jabatan Bekalan Air WP Labuan memaklumkan sebanyak tiga kerosakan paip direkodkan setakat ini, menyebabkan agihan air bersih kepada pengguna terjejas di beberapa lokasi utama.

Sebagai langkah mitigasi, Perbadanan Labuan telah menggerakkan jentera sokongan bagi membantu proses pembekalan air bersih ke kawasan terlibat.

Menurut kenyataan itu, bantuan bekalan air disalurkan secara berterusan ke tangki-tangki statik di DMA PB dan DMA Lajau hasil penyelarasan bersama Jabatan Bekalan Air WP Labuan, bagi mengurangkan kesan gangguan kepada penduduk.

Dalam pada itu, Jabatan Bekalan Air memaklumkan kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan dan semua usaha ditumpukan bagi memulihkan bekalan air secepat mungkin.

Pihak berkuasa turut merakamkan penghargaan terhadap kerjasama antara agensi terlibat yang disifatkan penting dalam memastikan kesejahteraan penduduk di Wilayah Persekutuan Labuan terus terpelihara.