Isu Kesesakan Pelabuhan Sepanggar Dibawa ke Kabinet, Kata Ewon

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan membentangkan cadangan penyelesaian interim bagi menangani kesesakan di Pelabuhan Sepanggar kepada Kabinet negeri dalam masa terdekat, kata Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata langkah jangka pendek itu perlu dilaksanakan segera memandangkan penyelesaian jangka panjang seperti projek perluasan pelabuhan mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

Menurutnya, isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan, kos logistik serta daya saing industri dan usahawan di Sabah.

“Hasil tinjauan mendapati aduan pemain industri adalah berasas, khususnya melibatkan kecekapan operasi yang perlu ditangani segera,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di pelabuhan berkenaan.

Ewon berkata beberapa perbincangan bersama pihak berkepentingan akan diadakan sebelum kertas Kabinet dibentangkan bagi mendapatkan kelulusan pelaksanaan langkah interim itu.