KUALA LUMPUR: Sabah memerlukan lebih banyak peruntukan untuk kerja penyelenggaraan jalan persekutuan dan cerun bagi menyelesaikan masalah kerosakan jalan raya yang menimbulkan rungutan pengguna jalan raya.
Peruntukan untuk kerja penyelenggaraan jalan raya sedia ada itu disuarakan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata peruntukan berkenaan adalah antara perkara yang perlu diberikan perhatian kerajaan persekutuan selain peruntukan untuk projek Lebuhraya Pan Borneo.
“Selain daripada projek Lebuhraya Pan Borneo, adalah juga diharapkan peruntukan untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan dan cerun-cerun dapat ditingkatkan bagi memberi keadaan jalan dan cerun yang lebih selamat dan selesa disediakan di Sabah.
“Sudah 60 tahun Sabah menjadi rakan kongsi pembentukan Malaysia dan sudah banyak jalan-jalan raya di Sabah yang telah melebihi jangka hayat reka bentuk dan memerlukan untuk dinaik taraf,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata bagi pelaksanaan fasa 1B projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, ia sememangnya ditunggu-tunggu rakyat Sabah.
Katanya, beliau berharap pelantikan semua kontraktor pelaksana untuk fasa berkenaan dapat dilengkapkan pada akhir tahun ini dan awal tahun depan.
“Saya berasa lega mendengar bahawa RM15.7 billion telah diperuntukkan bagi projek yang sudah lama dinantikan ini. Lebuhraya Pan Borneo ini penting bagi Sabah kerana ianya merupakan ‘game changer’ bagi negeri Sabah bila ianya siap kelak.
“Besarlah harapan kami agar pemilihan kontraktor-kontraktor nanti adalah berdasarkan kriteria kelayakan yang telah diteliti sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Shahelmey memohon agar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dapat melaksanakan banyak cadangan projek bekalan air luar bandar yang telah lama tertunggak bagi mengatasi isu bekalan air di Sabah.
Jelasnya, menerusi pelaksanaan itu, ia dilihat dapat membantu mengurangkan masalah bekalan air, khususnya di kawasan luar bandar di Sabah.
“YAB Menteri Kewangan juga ada menyebut tentang peruntukan bagi menyelesaikan masalah bekalan air bagi negeri Sabah dalam ucapan bajet 2024.
“Semoga peruntukan itu dapat diperincikan dan diselaras bersama Jabatan Air Negeri Sabah. Semoga juga ianya dapat dilaksanakan dalam tahun hadapan,” kata Shahelmey.