KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyifatkan agihan peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2024 tidak banyak berubah berbanding belanjawan-belanjawan sebelum ini.
Beliau berkata, secara keseluruhan Sabah dan Sarawak hanya mendapat 13.76 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan kerajaan Pusat, manakala sebahagian besar iaitu 86.24 peratus masih dikekalkan kepada Semenanjung.
“Sabah diperuntukkan RM6.6 billion dan Sarawak RM5.8 billion berjumlah RM12.4 billion daripada jumlah besar RM90.1 billion iaitu hanya 13.76 peratus untuk Sabah dan Sarawak, manakala Malaya mendapat 86.24 peratus atau RM77.7 billion.
“Dasar dan amalan Kerajaan Madani terhadap Sabah Sarawak sama saja dengan kerajaan-kerajaan yang lalu,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, pengagihan peruntukan pembangunan RM12.4 billion atau hanya 13.76 peratus itu menunjukkan layanan Kerajaan Madani sama seperti kerajaan-kerajaan lalu yang meminggirkan Sabah dan Sarawak yang jelas tidak akan membantu memajukan kedua-dua negeri itu.
Tegasnya, rakyat Malaysia di Borneo meminta asas agihan itu diubah supaya lebih adil dan bermakna kepada Sabah Sarawak yang mundur dan miskin tetapi berpotensi besar.
Katanya, apa-apa pengagihan yang kurang dari nisbah 50:25:25 tidak akan memberi peluang kepada Sabah Sarawak mengurangkan jurang dengan Malaya.
Jelasnya, jika daripada RM90.1 bilion jumlah peruntukan keseluruhan dan yang diberikan kepada Sabah Sarawak kurang daripada RM45 billion, ia hanya menambah kekecewaan rakyat kedua-dua negeri.
“Seperti yang semua maklum, Sabah dan Sarawak mundur daripada pelbagai aspek seperti aduan dan keluhan rakyat Sabah Sarawak yang disampaikan kepada YDP Agong atau dicatat oleh Tuanku Permaisuri sendiri semasa lawatan Kembara Borneo baru-baru ini.
“Aduan dan keluhan tersebut dikumpulkan dalam satu Buku 3-4 inci tebal yang diserah oleh Tuanku kepada YAB Perdana Menteri. Itupun melalui jalan raya yang diturap sebahagian besar sebelum lawatan Tuanku dan Permaisuri. Jika laluan adalah melalui sebahagian jalan gravel mungkin aduan dan keluhan akan mencapai 5 buku 3-4 inci tebal setiap buku,” katanya.
Sementara itu, Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), berkata pengembalian hasil bersih 40 peratus daripada segala hasil yang diperolehi Persekutuan dari Sabah seperti dituntut ketika ini adalah termaktub dalam Perlembagaan.
Katanya, hasil 40 peratus itu berjumlah berbilion ringgit setahun dan tidak kurang daripada RM16.4 bilion setahun pada hari ini.
“Hak ini dan pengembaliannya kini sudah menjadi tuntutan dan desakan warga Sabah Sarawak. Inipun hanya berdasarkan hasil Petronas (RM30 bilion), kerajaan (RM2 bilion), kutipan cukai (RM6.5 bilion) dan kastam (RM2.5 bilion) menjadikan jumlahnya RM41 bilion,” katanya.
Jeffrey menegaskan, peruntukan RM300 juta untuk Sabah dan Sarawak masing-masing dalam Belanjawan 2024 amat mengecewakan dan menyifatkannya sebagai satu tindakan yang meremehkan kedua-dua negeri.
Bagaimanapun, katanya pembayaran RM300 juta itu boleh diterima sebagai bayaran interim tetapi perlu diselesaikan dalam tahun ini juga kerana Sabah dan Sarawak sudah menunggu 60 tahun untuk mendapatkan hak 40 peratus yang dituntut.
“Hasil 40 peratus adalah duit Sabah dan bukan duit Persekutuan atau dari Negeri-Negeri yang lain. Jangan lagi ambil hasil Sabah ini yang hanya memundurkan Sabah dan mensengsarakan rakyat Sabah.
“Kegagalan Kuala Lumpur mengembalikan hasil 40 peratus hanya menambahkan keazaman rakyat untuk berpisah dari Malaysia. Dulu 60 peratus nak berpisah tetapi mengikut mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh, mengatakan mungkin 80 peratus warga Sabah ingin Sabah berpisah dari Malaysia sekiranya pungutan suara pada hari ini,” katanya.
Jeffrey berkata, tindakan mahkamah yang diambil Ahli-Ahli Yang Berhormat Pakatan Harapan (PH) Sabah dan Sabah Law Society sebelum ini berhubung hasil 40 peratus itu, selain kes mahkamah oleh NGO SABAR Sabah Action Body Advocating Rights mengenai pengisytiharaan Akta Pelantar Benua 1966 yang menghadkan sempadan Sabah Sarawak kepada 3 batu nautika membuktikan tahap kekecewaan warga Sabah sehingga perlu mengambil tindakan mahkamah.
“Dengan izin, don’t be surprised by next steps of separation like Singapore. Nasib baik YAB Perdana Menteri dari Tambun telah menyuarakan niat beliau untuk melaksanakan MA63 dan tidak perlu mengkaji sana sini atau berunding lagi.
“Oleh demikian, demi mengekalkan negara Malaysia tercinta, saya dengan rendah diri menyeru Ahli-Ahli Jemaah Menteri dan Penjawat Awam Kerajaan, tolonglah dan marilah kita berganding bahu bekerjasama menunaikan hak-hak Sabah Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan yang dipersetujui oleh Bapak-Bapak Pengasas Malaysia pada 1963.
“Kita perlu terima hakikat bahawa rakyat Sabah tidak akan menerima sekiranya hasil bersih 40 peratus ini tidak dikembalikan,” tegas Jeffrey.