LABUAN: Warga Labuan yang terdiri dari pelbagai kaum disaran mengenepikan perbezaan pendapat mahupun fahaman politik, sebaliknya terus bekerjasama menjayakan program yang membabitkan kenegaraan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata kerjasama dan kesepaduan perlu diberi keutamaan dalam menjayakan apa juga program yang melibatkan kenegaraan dengan mengenepikan perbezaan pendapat yang wujud di antara semua pihak.
“Kesepakatan dan kesepaduan ini juga perlu ditingkatkan bukan sahaja tertumpu pada bulan bulan tertentu sahaja kerana apa yang kita lakukan ini adalah sebahagian daripada perjuangan dalam membina sebuah negara yang cakna perpaduan dan cintakan negara” katanya ketika merasmikan Program Majlis Kita Madani dan Apresiasi Semarak Gemilang 2023 anjuran Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan di sini, pada Isnin lepas.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan, Azman Sipan menghargai komitmen rakan-rakan strategik dalam menjayakan Program Semarak Gemilang 2023 yang diadakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang diadakan baru baru ini.
Beliau berkata, kerjasama yang begitu erat jelas terpancar bukan sahaja dalam menjayakan sambutan Hari Kebangsaan tetapi juga dalam program yang menyuburkan elemen patriotisma dan kenegaraan.
Pada majlis itu, sebanyak 33 rakan strategik Jabatan Penerangan yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, Komuniti Malaysia Madani, Pertubuhan Belia, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan rakan media yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program Semarak Gemilang 2023 telah diraikan, selain menerima sijil penghargaan.
Turut diadakan pada majlis tersebut penyampaian hadiah Pemenang Anugerah Semarak Gemilang 2023 kepada Mohd Hazim Mohd Noor yang menerima wang tunai RM3,000.