KOTA KINABALU : Kerajaan negeri komited untuk menangani isu membabitkan belia khususnya dalam bidang pendidikan, kebajikan serta mewujudkan peluang pekerjaan di negeri ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, suara pelajar dilihat sangat penting sekali gus kerajaan akan berusaha untuk menyelesaikan dalam tempoh terdekat.
“Kami mendengar suara anda….Kerajaan memandang serius segala kebimbangan anda sama ada isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS), serta kualiti pendidikan atau prospek pekerjaan pada masa depan.
“Ini bukan janji kosong. Kami sedang berusaha mencari penyelesaian yang benar-benar bermakna khususnya dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya di sini semalam.
Masidi berkata, beliau memuji semangat serta pandangan bernas dikemukakan dalam kalangan pelajar ini khususnya dalam dialog yang dianjurkan pada hari ini.
“Peranan generasi muda sangat penting, oleh itu masa depan Sabah kini terletak di tangan generasi muda, mereka perlu memainkan peranan penting.
“Anda bukan sahaja pemimpin pada masa depan, malah merupakan pelapis kepimpinan yang bakal mencorak perubahan kepada generasi pada hari ini,” jelas Masidi.
Menurutnya, beliau turut menggesa agar pelajar ini untuk terus aktif serta melibatkan diri dalam arus pembangunan di negeri Sabah.