TONGOD : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membayangkan akan bertanding sekurang-kurangnya 52 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah ini.
Naib Presidan Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, gesaan ini berdasarkan sentimen serta sokongan padu rakyat Sabah memilih kepada parti tempatan menjelang PRN nanti.
Katanya, bagaimanapun ia akan terjadi sekiranya Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersetuju terhadap cadangan berkenaan.
“Jika cadangan ini dipersetujui oleh Pengerusi GRS, saya akan menjangkakan kita akan bakal bertanding 52 kerusi dalam PRN ini nanti.
“Selebihnya 21 kerusi tersebut bakal diagihkan kepada parti nasional yang bersetuju menjalinkan kerjasama dengan GRS, ” katanya di sini semalam.
Masiung merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, beliau melahirkan keyakinan calon parti tempatan dalam GRS mampu menjadi pertaruhan dominan sekali gus menyingkirkan pembangkang sebelum ini ditolak rakyat ketika menjadi kerajaan di Sabah.
“Ketika ini, GRS akan lebih berhati-hati apabila menjalinkan hubungan kerjasama bersama parti lain ekoran peristiwa cuba menjatuhkan kerajaan negeri menerusi Langkah Kinabalu pada Januari 2023 lalu.
“Hubungan kerjasama politik dan pentadbiran kerajaan antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini cukup baik dan ia boleh dikekalkan,” jelas Masiung.
Menurutnya, beliau yakin jika kesepakatan GRS dan PH diteruskan dalam menghadapi PRN-17 nanti, gabungan ini diyakini mampu membentuk kerajaan negeri Sabah sekali lagi.