KGKS tolak cadangan tingkatkan had umur persaraan kepada 65 tahun

KOTA KINABALU : Cadangan meningkatkan had usia persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun dikhuatiri boleh menyempitkan ruang kemasukan tenaga kerja baharu sekali gus mengurangkan peluang pekerjaan untuk golongan muda.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS), Murkam Hussien berpendapat cadangan itu tidak wajar dilaksanakan buat masa ini.

Menurut statistik, katanya Malaysia melahirkan lebih 300,000 graduan, termasuk yang mengambil jurusan pendidikan, setiap tahun, dan jika cadangan itu dilaksanakan, ramai

kalangan mereka berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan tetap pada masa depan.

“Dalam hal ini, KGKS berpendapat cadangan ini wajar ditolak dan tidak relevan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Murkam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan peningkatan usia persaraan atas alasan ramai individu berusia 60 tahun ke atas masih sihat dan berpengalaman.

Murkam berkata, faktor kesihatan dan pengalaman tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan utama untuk mewajarkan langkah menaikkan had umur persaraan.

Beliau berkata ini kerana ia boleh memberi kesan jangka panjang terhadap prospek pembangunan belia dan keseimbangan dalam pasaran buruh negara.