KOTA KINABALU : Ahli Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas diseru agar terus menanam dan mengamalkan semangat setia kawan sebagai asas perjuangan politik.
Ketua Wanitanya, Halizah Din berkata, ini khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 Sabah yang dijangka semakin hampir.
Katanya, perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan perjuangan kolektif yang membawa suara dan harapan rakyat Sabah.
“Ini memerlukan komitmen dan kesepaduan semua ahli parti dalam memperkukuh jentera serta strategi gerak kerja di peringkat akar umbi.
“Dalam situasi politik yang sering berubah dan tidak menentu, ahli parti harus kekal berprinsip dan bersatu dalam menghadapi sebarang cabaran luar jangka yang mungkin timbul,” katanya di sini semalam.
Halizah menyuarakan keyakinan bahawa GRS mampu mengekalkan kemenangan dan membentuk semula kerajaan negeri.
“Sekiranya ahli dan jentera parti terus kekal setia, bekerja keras dan mengutamakan perjuangan parti melebihi kepentingan peribadi.
“Kita percaya bahawa bilangan kerusi GRS dalam PRN nanti akan menjadi faktor penentu sama ada kita mampu membentuk kerajaan secara bersendirian atau menjadi kuasa penentu dalam rundingan pembentukan kerajaan,” jelas Halizah.