KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan,
Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri memperkenalkan buat julung kalinya Kempen DEC-Cover Sabah bagi memacu sektor pelancongan negeri Sabah ke tahap yang lebih tinggi.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew melancarkan kempen itu semalam, di sini.
Christina berkata, kempen DEC-Cover Sabah bukan sahaja menjanjikan sambutan yang meriah tetapi juga bertujuan untuk memupuk penglibatan masyarakat dan meningkatkan kesedaran tentang kekayaan budaya di Sabah.
Program ini menggariskan komitmen semua pihak yang terlibat untuk meraikan
dan memperkasakan kekayaan warisan tempatan, kepelbagaian budaya dan keunikan etnik yang melambangkan entiti mutlak negeri Sabah.
Sepanjang bulan Disember ini, kempen DEC-Cover Sabah menjanjikan pelbagai aktiviti hebat yang bakal mempesonakan pengunjung dan penduduk tempatan.
Antara yang menjadi tumpuan adalah Sabah Tanah Airku Countdown Mega Run 2023, selaras dengan Hari Kembara Apresiasi Sabah merupakan acara yang melibatkan 28 Daerah di negeri Sabah dengan 1,000 pelari berkompetensi membawa Bendera Sabah sepanjang larian dengan perjalanan berjumlah 200 jam menuju ke Kota Kinabalu.
Selain itu, Family Fun Run juga dianjurkan bertujuan untuk menyatukan sebanyak 2,000 peserta demi memupuk ikatan erat dan kegembiraan bersama keluarga dan rakan.
Pelbagai aktiviti lain yang akan membuka tirai pada bulan tersebut termasuklah Miss Merdeka Sabah 2023, Battle of Buskers, Borneo Culture Festival, Tamu-Bah yang mempamerkan jualan peniaga tempatan, Jelajah Sabah Foodie dan juga aktiviti-aktiviti lain yang meraikan kekayaan budaya di negeri Sabah.
Tumpuan utama yang lain juga adalah Kempen Derma Darah yang dianjurkan oleh Amnestry Blood Organization (ABO) pada 31 Disember 2023.
Kempen DEC-Cover Sabah ini dianjurkan bersama Rock Maestro Sdn Bhd dan Awesome Borneo Holidays Sdn Bhd.