Mohd Rafi yakin 11 Ketua Kampung kouta UMNO mampu pikul tanggungjawab

LABUAN: Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohd Rafi Ali Hassan yakin 11 Ketua Kampung yang dilantik atas kouta UMNO mampu memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan.

Beliau berkata, kesemua 11 ketua kampung dari kouta parti UMNO yang dilantik itu mempunyai kredibiliti sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, berintegriti dan amanah serta sentiasa turun padang meninjau permasalahan rakyat.

“Kita juga berharap mereka yang telah diberi kepercayaan ini dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada soal pembangunan dan kebajikan masyarakat yang agak tertinggal akibat kelewatan pelantikan Ketua Kampung hampir setahun selepas Pilihan Raya Umum ke 15 tahun lalu,” katanya pada majlis perjumpaan makan malam bersama Ketua-Ketua Kampung kouta UMNO Labuan di sini, baru baru ini.

Mohd Rafi yang juga Ketua Bahagian UMNO Labuan, yakin Ketua Kampung yang diberikan amanah mampu memainkan peranan dalam memastikan kampung yang dibawah tanggungjawab mereka sentiasa sejahtera dan harmoni.

Untuk rekod Wilayah Persekutuan Labuan mempunyai 27 Ketua Kampung yang telah dibahagikan kouta mengikut kesesuaian parti yang mengabungkan parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (UMNO) serta Parti Warisan.

Sementara itu, pelantikan 27 buah kampung telah menerima watikah masing-masing dua minggu lalu yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidik.

Pelantikan Ketua Kampung berkuatkuasa pada 1 Oktober 2023 dan akan tamat pada 29 September 2025 iaitu untuk tempoh tiga tahun.

Mohd Rafi juga turut mengucapkan tahniah kepada semua Ketua Kampung yang baharu dilantik.