MAIWP peruntukkan RM360,000 untuk pembangunan projek Rumah Hijau Hidroponik

LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)  memperuntukan sebanyak RM360,000 untuk membangunkan projek Rumah Hijau Hidroponik  bagi membantu  usahawan asnaf dalam bidang pertanian.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya berkata,  projek tersebut merupakan salah satu pendekatan MAIWP dalam membantu  dan memperkasakan golongan asnaf tani untuk terus  berdikari sekaligus mampu menjana pendapatan sendiri selaras dengan konsep transformasi zakat sara diri.

Katanya, Rumah Hijau Hidroponik yang terletak di tanah MAIWP  Kampung Sungai Buton dilengkapi dengan system hidroponik yang meliputi peralatan system perpaipan, tangki air, baja, semaian, pendawaian, benih semaian hidroponik pot dan pam air elektrik.

Jelasnya, melalui projek ini seramai enam asnaf tani yang mempunyai kesungguhan untuk menjadi usahawan tani dan berjaya melapasi tapisan MAIWP dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) telah ditawarkan untuk  mengusahakan projek tersebut.

“Bagi memastikan projek Rumah Hijau Hidroponik  dijalankan dengan lebih teratur dan menyakinkan, MAIWP dengan kerjasama PPK bukan sahaja akan memantau dan menyelaras tetapi juga memberikan latihan di lapangan,” katanya kepada media selepas merasmikan Laman Hidroponik MAIWP di Kampung Sungai Buton, semalam.

Sementara itu, Mohd Nazim berharap dengan adanya projek Laman Hidroponik termasuk Laman Cendawan itu, pihaknya akan terus memperkasakan bidang pertanian dan penternakan secara holistik bagi menampung keperluan penduduk Labuan yang  sering berdepan dengan  kekurangan bekalan bahan mentah terutamanya hasil pertanian.

Pada majlis itu, Mohd Nizam turut menyampaikan secara simbolik peralatan tani kepada enam pengusaha asnaf Rumah Hijau Hidroponik.

Turut hadir, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Labuan Catherina Edward, Pengarah Jabatan Pertanian Marysia Modingin, Pengurus Besar PPK Selatan Syahrizam Hamid dan Pengurus MAIWP Labuan Md Fadzli Md Saad.