Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar beri bantuan sokongan produk luar bandar persediaan hadapi TM Malaysia 2026

KOTA KINABALU : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan terus memberi bantuan sokongan untuk menaiktaraf dan membaikpulih produk pelancongan luar bandar sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia Tahun 2026.

Menterinya, Datuk Christina Liew berkata ia terutama melibatkan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong tidak hanya kepada alam semua jadi, bahkan warisan dan juga budaya.

“Kementerian berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana meluluskan peruntukan bernilai RM7 juta bagi pembangunan pelancongan luar bandar pada tahun hadapan.

“Selaras dengan peruntukan yang diberikan secara inklusif merangkumi keperluan dalam bidang pelancongan, budaya dan alam sekitar, semestinya akan dimanfaatkan oleh kementerian untuk memastikan keseimbangan pembangunan dan pemeliharaan kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna yang menjadi aset penting negeri ini,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUNl) Sabah, hari ini.

Katanya antara isu yang telah diberi perhatian kementerian itu termasuk meluluskan peruntukan untuk Pembangunan Pelancongan Luar Bandar yang melibatkan penambahbaikan dan penaiktarafan fasiliti serta pemberian latihan kepada pengusaha pelancongan luar bandar.

Menurut beliau, pada masa sama, kementerian melalui Lembaga Pelancongan Sabah juga telah memperuntukkan bantuan sokongan berskala kecil kepada 29 produk pengusaha Kota Belud pada tahun ini dengan kos keseluruhan RM192,800.

“Bantuan sokongan berskala kecil kepada pengusaha pelancongan di daerah tersebut meliputi komponen seperti membina dan menaiktaraf kemudahan asas termasuk tandas, bilik mandi, jeti, jambatan laluan pejalan kaki dan dewan terbuka,” katanya.