SANDAKAN : Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu mencari jalan penyelesaian secara bersama bagi mengatasi isu kerugian air tidak terhasil (NRW) di Sabah.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee mengemukakan perkara itu di Parlimen dan mahu kerajaan melihat isu tersebut dengan lebih serius dan menyatakan berapa kadar NRW di Sabah khususnya Sandakan ketika ini.
Jelasnya, ini penting bagi mengelakkan sumber semula jadi dan dana kerajaan negeri terbuang begitu sahaja.
Menurut beliau, kerajaan perlu memberi dana setiap tahun kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk mengelakkan kerugian yang teruk sehingga ia tidak dapat beroperasi.
Jelasnya, dengan pertambahan kerugian setiap tahun, kerajaan juga boleh menjangkakan ia akan menjadi beban berat kerajaan negeri pada masa akan datang.
“Oleh itu, mengenal pasti punca kerugian NRW dan menyelesaikannya satu persatu adalah langkah yang bijak untuk kestabilan jangka panjang,” katanya.
Berdasarkan jawapan bertulis kepada Vivian, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan, kadar air tidak terhasil di Sabah pada tahun 2022 adalah 55 peratus, manakala di Sandakan adalah 57 peratus.
Ini bermakna lebih separuh daripada bekalan air yang dibekalkan oleh JANS adalah terbuang percuma dan mengalami kerugian.
Walaupun kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai langkah selama 20 tahun terakhir untuk menangani masalah air tidak terhasil ini, keberkesanannya dilihat agak terhad dan kadar air tidak terhasil juga masih tinggi.