KOTA KINABALU : Satu Jawatankuasa ditubuhkan bagi menyelaras ‘Isu-Isu Hospital serta Klinik Kesihatan’ bagi membincangkan dan menambah tenaga pakar perubatan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, beliau akan menjadi pengerusi jawatankuasa ini serta dianggotai Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Hospital Queen Elizabeth I, Hospital Queen Elizabeth II serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak.
Katanya, sehingga kini beberapa Pengarah Hospital membabitkan beberapa daerah lain akan dinilai berdasarkan keperluan di setiap sekali gus akan dimaklumkan di dalam tempoh terdekat.
“Saya melawat Hospital dan Klinik Kesihatan serta tapak pembinaan Hospital atau Klinik Kesihatan membabitkan daerah Tawau, Paitan, Sandakan, Kota Marudu, Pitas, Papar, Beaufort, Penampang, Tuaran dan Keningau untuk melihat sendiri keadaan serta keperluan di kawasan terbabit.
“Hasil dari siri lawatan ini beberapa tapak yang mempunyai isu tanah telah dapat diselesaikan termasuk Kementerian juga mengemukakan isu kekurangan dapur di Hospital Queen Elizabeth I kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Berhubung perkhidmatan kardiologi di negeri Sabah, jumlah pakar kardiologi melibatkan seramai lapan orang serta berpusat di Hospital Queen Elizabeth II. Perkhidmatan kepakaran kardiologi, Kardiologi dewasa,” katanya dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2024 Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.
James berkata, selain itu perkhidmatan akan diambil kira termasuk Kardiologi Pediatrik bagi kanak-kanak, serta Perkhidmatan Pembedahan Kardiotorasik dan Perkhidmatan Anestesia Kardiotorasik dan Reperfusi merangkumi lapan tenaga pakar perubatan.
“Pelbagai program latihan sub-kepakaran kardiologi dewasa dan Pakar Anestesiologi Kardiotorasik serta Reperfusi yang sedang menjalani program latihan sebagai sub-kepakaran.
“KKM bersetuju perancangan untuk memperluaskan perkhidmatan kardiologi ke pantai timur Sabah akan memulakan perkhidmatan kardiologi di Hospital Tawau dan Hospital Duchess of Kent Sandakan melalui Rancangan Malaysia Ke-12, Pelan Pusingan Ke-4,” jelas James.