Suhaimi minta Kerajaan Negeri perhalusi konsep sewa beli PPR di Sabah

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Suhaimi Nasir meminta Kerajaan Negeri memperhalusi konsep sewa beli bagi unit Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini.

Beliau berkata ini kerana kira-kira 89 peratus penghuni PPR di negeri ini adalah Bumiputera dan dalam kategori B40.

“Isu PPR ini banyak kali saya suarakan dari tahun lalu di Parlimen di DUN ini..kita harapkan pihak kerajaan hari ini di Sabah kalau tidak beri sewa beli PPR ini sampai bila kerajaan menanggung kos.

“Apakah Kerajaan mengambil keuntungan daripada sewa PPR ini dan saya dimaklumkan yang mengambil keuntungan adalah syarikat konsesi.

“Sewa lebih kepada syarikat konsesi dan puluangan kepada Kerajaan Negeri tidak memberi keuntungan,” katanya pada soalan tambahan kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Negeri Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Suhaimi menambah sebelum ini Menteri Kewangan (Datuk Seri Panglima Masidi Majun) ketika menjadi Menteri KKTP pernah bersetuju dan membincangkan kalau PPR ini dijual kepada penyewa.

Justeru itu, beliau mahu tahu apakah tindakan Kerajaan Negeri hari ini mengenai cadangan sewa beli PPR di Sabah.

Joachim ketika menjawab soalan tambahan itu menyatakan terdapat 20,000 unit PPR di seluruh Sabah tetapi bilangan pemohon lebih daripada jumlah unit PPR yang ada.

“Kalau kita laksanakan konsep sewa beli maka tidak ada peluang pemohon lain untuk dapatkan unit PPR ini..bagaimanapun kita akan nilai balik dan pada masa sama masih memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan unit PPR di negeri ini,” katanya sambil menambah jika sudah banyak jumlah unit PPR di negeri ini, tiada masalah untuk melaksanakan konsep sewa beli.