KOTA KINABALU : Sabah menerima pelaburan Syarikat Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd bagi membangun Kilang Bersepadu Klinker dan Simen membabitkan nilai pelaburan RM2 Bilion di daerah Tongod.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berkata pembinaan ini melalui dua fasa dijangka mampu menghasilkan 1.75 juta tan simen setahun.
Katanya, setakat ini keperluan semasa pasaran Sabah adalah sekitar 1.4 juta tan simen setahun sekali gus mampu memenuhi keperluan di negeri ini.
“Kilang ini dijangka bukan sahaja mampu memenuhi keperluan semasa industri pembinaan malah akan memastikan bekalan yang mencukupi untuk masa hadapan serta dapat mengeksport ke negara-negara jiran.
“Pada masa sama, pelaburan kilang bersepadu klinker dan simen ini akan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import bahan mentah pembuatan simen dari luar negara,” katanya dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2024 Negeri Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.
Jin Zhe berkata, pelaburan ini juga dijangka mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan seterusnya mampu meningkatkan sosio-ekonomi khususnya sekitar daerah Tongod dan daerah berhampiran.
“Semasa mengikuti sesi perbahasan bagi Sidang Dewan Undangan Negeri pada kali ini, beberapa ADUN menyentuh berhubung isu peluang pekerjaan yang telah diwujudkan melalui pelaburan yang telah diterima oleh Negeri Sabah.
“Sememangnya pelaburan diterima ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan di Sabah dan sedikit-sebanyak akan mengurangkan brain drain di negeri ini sekali gus peluang pekerjaan di isi oleh anak tempatan Sabah,” jelas Jin Zhe.