KOTA KINABALU : Satu jawatankuasa khas diketuai oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dengan ahli-ahli juga melibatkan wakil Kerajaan Negeri Sabah iaitu Peguam Besar Negeri Sabah akan terus mengambil langkah aktif untuk mengukuhkan lagi kedaulatan negara, terutama apabila melibatkan negeri Sabah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata Kerajaan Negeri Sabah dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan melalui Bahagian Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Jabatan Perdana Menteri selalu mengadakan perbincangan dan tindakan seterusnya apabila melibatkan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.
Katanya pada 6 November 2023 yang lepas, dilaporkan bahawa Mahkamah Perancis telah membatalkan perintah bagi gadai janji berkanun (statutory mortgage) yang dibuat terhadap bangunan diplomatik Malaysia di Paris oleh penuntut-penuntut yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.
“Perlu dinyatakan di sini bahawa Kerajaan Negeri Sabah serta Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengiktiraf penuntut-penuntut mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.
“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan telah membuat beberapa simposium dan meneruskan dialog bersama pihak berkepentingan sama ada di dalam dan luar negara untuk memberi maklumat terhadap tuntutan ini agar media antarabangsa tidak menyalahtafsirkannya,” katanya pada ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2024 bagi Jabatan Ketua Menteri di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.
Abdidin berkata dalam masa sama, Kerajaan Persekutuan juga telah mencadangkan penggubalan suatu akta dinamakan “Immunity Act” iaitu sebuah akta yang melindungi kedaulatan negara daripada apa-apa tuntutan asing.
Mengenai tuntutan 40 peratus daripada Kerajaan Persekutuan, beliau berkata, Kerajaan Negeri Sabah masih meneruskan perbincangan pelaksanaan pemberian khas daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Katanya pendirian Kerajaan Negeri masih sama iaitu jumlah pemberian khas yang dituntut adalah berdasarkan formula yang termaktub di bawahSeksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan iaitu bersamaan dengan 40 peratus daripada amaun hasil bersih yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan dari negeri Sabah.
“Kerajaan Negeri Sabah mencadangkan supaya proses perundingan berhubung formula dapat dimuktamadkan di antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan dalam tempoh masa terdekat,” kata Abidin.