Hajiji alu-alukan keputusan UK tukar nasihat perjalanan ke Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengalu-alukan keputusan United Kingdom (UK) untuk menukar nasihat perjalanannya untuk warga British yang melancong ke Sabah.

Mengalu-alukan keputusan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri berkata Sabah adalah tempat yang selamat untuk dikunjungi dan untuk berniaga.

“Berikutan penilaian keselamatan terkini oleh Majlis Keselamatan Negara Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Sabah, Pasukan Polis Diraja Malaysia telah memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Sabah kekal terkawal.

“Perintah-perintah berkurung telah ditarik balik. Sabah adalah tempat yang selamat untuk dikunjungi dan berniaga,” katanya sambil menambah lebih 150,000 pelancong asing telah melawat pantai timur Sabah dari Januari hingga September tahun ini.

Dengan keputusan UK itu, Hajiji berharap lebih ramai warga Britain akan melawat Sabah.

Beliau juga berharap negara lain yang telah mengeluarkan nasihat perjalanan akan mengambil iktibar daripadanya keputusan Kerajaan UK.

Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia dalam satu kenyataan berkata kemas kini itu adalah hasil daripada semakan rapi oleh Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan UK (FCDO) dan ini merupakan perubahan besar pertama kepada nasihat perjalanan UK untuk Sabah sejak 2013.