TELUPID: Seorang pelukis kurang upaya (OKU) teruja selepas hasil lukisannya dijadikan cenderahati kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa Kembara Kenali Borneo singgah di Institut Perhutanan Sabah (IPS) Telupid di sini, semalam.
Lukisan tersebut dihasilkan sendiri oleh Rosemary Yvonne Marcus, 42, yang memaparkan potret perkahwinan Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Tertarik dengan hasil lukisan Rosemary, Yang di-Pertuan Agong kemudian berkenan membeli tiga lagi hasil lukisan Rosemary dengan nilai RM5,000 yang mana dua lukisan memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Charles III manakala sebuah lukisan lagi memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri.
Menurut Mary Ann Marcus yang merupakan adik kepada Rosemary, mereka berbesar hati kerana beberapa hasil lukisan tersebut telah menarik perhatian Seri Paduka berdua.
“Kami membuat jualan hasil lukisan untuk mengumpul dana bagi membuka galeri lukisan kakak saya di Telupid. Ia adalah satu penghormatan bagi kami apabila Yang di-Pertuan Agong berkenan melawat pameran dan membeli tiga lagi hasil lukisan kakak saya,” katanya kepada Sabah News Today.
Menurut Mary Ann, kakaknya hilang keupayaan mendengar dan bertutur sejak dari kecil lagi selepas insiden terkena air panas semasa berumur 1 tahun setengah.
Bagaimanapun, ia bukan penghalang bagi kakaknya untuk mengembangkan bakat dan minatnya dalam menghasilkan seni lukisan.
Terbaharu, Rosemary berjaya mendapat tempat ke-lima dalam kategori lukisan pada International Abylimpics 2023 yang diadakan di Perancis pada bulan Mac 2023.