KOTA KINABALU: Selepas menerima agihan peruntukan pembangunan yang tertinggi tahun ini, Sabah dijangka terus menerima jumlah yang besar dalam Belanjawan 2024, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurutnya ia sejajar keperluan negeri ini yang masih memerlukan peruntukan yang besar bagi melaksanakan projek pembangunan, terutama infrastruktur.
“Tahun ini, Sabah menerima agihan peruntukan projek pembangunan yang terbesar berbanding negeri lain dan kemungkinan dalam belanjawan tahun depan ia berlaku sekali lagi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Dialog Jelajah Belanjawan 2024 peringkat Negeri Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Beliau berkata, secara keseluruhan, Sabah menerima RM61.1 bilion bagi 1,144 projek yang dilaksanakan semua kementerian persekutuan pada tahun ini, selain RM6.5 bilion peruntukan tahunan untuk pembangunan.
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding RM48.1 bilion bagi 1,048 projek selain RM5.1 bilion peruntukan tahunan yang diagihkan dalam belanjawan tahun lalu.
“Projek pembangunan 2023 untuk Sabah adalah yang tertinggi berbanding negeri lain, tapi kita tahu ia masih tidak cukup kerana negeri yang luas dan kurang prasarana.
“Namun, ia membuktikan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan tumpuan yang tinggi kepada Sabah, selepas itu Sarawak,” katanya.
Ahmad berkata, berdasarkan dialog Jelajah Belanjawan 2024, beliau merumuskan belanjawan tahun depan bakal menumpukan penyelesaian isu prasarana seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan sambungan internet, selain bangunan sekolah dan balai polis daif.
Sementara itu, katanya, kerajaan persekutuan masih melihat keperluan setiap negeri dalam pengagihan peruntukan tahunan dan berdasarkan tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Menurutnya, walaupun kerajaan persekutuan menghormati kewujudan tiga wilayah dalam negara, pengagihan peruntukan ketika ini masih berdasarkan situasi semasa setiap negeri.

