KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup perlu memantau peniaga restoran agar tidak menaikkan harga berikutan pengumuman kenaikan harga beras import bermula 1 September lalu.
Pengerusi Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti UMNO Sabah Datuk Awang Aslee Lakat berkata, tinjauan mendapati terdapat beberapa syarikat tempatan telah mengumumkan kenaikan harga beras import 5 kilogram dari RM14.25 kepada RM18.75 dan 10 kilogram RM27.50 kepada RM36.00.
Katanya, berikutan fenomena ini sudah tentu ada kalangan peniaga restoran atau pengusaha lain akan mengambil kesempatan terhadap kenaikan ini.
“Apa yang penting ketika ini adalah pemantauan lebih kerap dijalankan agar tiada peniaga akan mengambil kesempatan sekali gus harga di premis makanan termasuk restoran dapat dikekalkan.
“Kami juga akan mengadakan pemantauan serta mengemukakan laporan sekiranya terdapat ada kalangan peniaga secara sesuka hati menaikkan harga makanan di premis mereka,” katanya di sini hari ini.
Awang Aslee yang merupakan Ketua Bahagian UMNO Beaufort berkata, secara umum mengetahui jika tiada pemantauan secara lebih kerap dijalankan sudah tentu ada segelintir peniaga akan mengambil kesempatan.
“Kita meminta agar orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak penguatkuasa bagi memastikan peniaga yang degil ini dapat diambil tindakan,” kata beliau lagi.