SIPITANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor perlu membawa ‘Usul Percaya’ ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada berselindung disebalik keyakinan palsu masih mempunyai sokongan mencukupi.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan (WARISAN), Abd Aziz Taip berkata, sekiranya Hajiji yakin masih mempunyai cukup majoriti mengapa perlu takut untuk bertindak sedemikian rupa.
Katanya, jika yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih memiliki sokongan serta mempunyai majoriti dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengapa perlu memujuk Wakil Rakyat WARISAN untuk menyertai mereka.
“Mengapa masih ada usaha memujuk ADUN Warisan agar melompat serta memberikan sokongan kepada GRS.
“Sewajarnya Hajiji perlu melepaskan jawatan Ketua Menteri kerana bukan sahaja beliau menghadapi krisis keyakinan malah dianggap lemah selaku Ketua Menteri pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Aziz merupakan Ketua Bahagian Warisan Sipitang berkata, dalam tempoh lebih kurang empat tahun sejak 2018, Hajiji sudah melompat meninggalkan UMNO untuk menyertai BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).
“Ternyata Hajiji kini melompat lagi meninggalkan BERSATU dan PN, kerana bimbang serta takut menjadi pembangkang di negeri Sabah.
“Kita ingin bertanya kepada Hajiji, apakah parti beliau pada ketika ini…..Adakah beliau menjadi ADUN Bebas sementara menanti parti yang sesuai untuk menjadi Rumah Baharunya,” katanya.
Abd Aziz berkata, rakyat Sabah perlukan seorang Ketua Menteri yang berprinsip serta memberi contoh yang terbaik kepada semua parti.
“Ini penting untuk memberikan keyakinan kepada pelabur dari dalam dan luar negara seiring dengan kestabilan politik di negeri ini,” katanya.