GLC Sabah perlu maksimumkan dasar mesra pelabur SMJ – Hajiji

KOTA KINABALU: Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) perlu memanfaatkan sepenuhnya dasar mesra pelabur untuk memacu pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pendekatan itu membantu Sabah mencapai RM12 bilion dalam pelaburan asing dan RM942 juta dalam pelaburan domestik.

Katanya, ini mewujudkan lebih 5,000 pekerjaan dalam tempoh dua tahun bermula September 2020.

“Kita yakin berdasarkan pengalaman serta kredibiliti sedia ada, GLC mempunyai ruang untuk bergerak ke hadapan dalam perniagaan mereka dan menyumbang secara langsung kepada aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kekayaan sumber asli Sabah mesti dipergunakan untuk menjana pendapatan optimum dan pertumbuhan ekonomi melalui penglibatan GLC negeri dalam sektor perindustrian,” katanya di sini hari ini.

Teksnya dibacakan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, SEDCO sebagai agensi tertua di Sabah yang berperanan untuk merangsang pemulihan ekonomi.

Ini secara tidak langsung meningkatkan ekonomi rakyat dan membina sumber modal insan negeri perlu memastikan ia kekal relevan dan lebih berdaya saing selaras dengan permintaan ekonomi semasa.

“Saya percaya ia boleh dilakukan dengan dedikasi, kebijaksanaan, visi dan idea baharu daripada pengurusannya.

“Komitmen setiap individu perlu sentiasa digerakkan secara bersepadu dan proaktif untuk mencapai semua objektif yang dihasratkan,” katanya.