PENAMPANG: Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) mengambil sikap terbuka dan menerima keputusan bekas Timbalan Presidennya Datuk Juil Nuatim yang mengumumkan keluar daripada parti itu, semalam.
Presidennya Datuk Peter Anthony berkata KDM tidak ada sebarang masalah berhubung tindakan Juil kerana ia adalah hak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau itu untuk meneruskan hala tuju politik beliau.
“Kita mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau (Juil) kalau itulah keputusan yang dipilihnya.
Kita tiada masalah kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi untuk memilih hala tuju masing-masing. (Hubungan) kami masih bagus…kami orang politik,” katanya di sini hari ini.
Ketika mengumumkan keluar parti, Juil berkata, beliau kini adalah seorang ADUN Bebas yang menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan menegaskan tiada sebarang perselisihan dengan Peter, namun, hanya untuk membawa pembangunan di kawasan beliau.
Peter yang juga ADUN Melalap tidak menafikan pihaknya amat terkejut dengan perkara itu kerana sebelum ini tiada sebarang surat, makluman atau perbincangan mengenainya, selain parti juga tidak mengetahui faktor sebenar mendorong Juil meninggalkan KDM.
Bagaimanapun, Peter juga tidak menolak kemungkinan faktor peruntukan yang masih diperlukan untuk pembangunan di DUN Limbahau menjadi antara alasan Juil keluar KDM.
Dalam pada itu, Peter berkata KDM berpegang teguh dengan pendirian parti untuk menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri yang mentadbir Sabah pada masa ini.
Mengenai pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, Peter berkata KDM akan menyokong RUU itu bagi menghentikan masalah lompat parti dalam kalangan ahli politik yang sering berlaku di Sabah.
Semalam, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata Kerajaan Sabah akan membentangkan RUU Anti Lompat Parti pada persidangan DUN yang hari ini.