Awang Ahmad Sah Diumumkan Pengerusi Qhazanah Technologys Sdn Bhd

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari diumumkan Pengerusi Qhazanah Technologies Sdn Bhd yang baharu berkuatkuasa serta merta.

Pengumuman itu dilakukan oleh Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, Datuk Dr Yusof Yacob di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Sipitang di sini baru-baru ini.

Qhazanah Technologies Sdn Bhd merupakan sebuah anak syarikat Qhazanah Sabah Bhd yang terlibat dalam industri telekomunikasi dan logistik.

Dr Yusof yakin berdasarkan latar belakang beliau yang banyak terlibat dalam sektor korporat dijangka mampu meningkatkan prestasi syarikat tersebut.

“Kita menzahirkan keyakinan kepada ADUN Petagas berusaha mengalas tugas ini dengan sebaik mungkin bagi meningkatkan keupayaan syarikat ini di masa depan.

“Selain itu, Qhazanah Technologies Sdn Bhd memerlukan individu yang komited, berpengalaman serta mampu membawa lebih banyak pelaburan bagi keuntungan syarikat nanti,” katanya di sini hari ini.

Dr Yusof berkata, Qhazanah merancang untuk membawa lebih banyak pelaburan kepada Qhazanah Sabah Berhad dalam usaha meningkatkan pulangan dividen kepada kerajaan negeri pada tahun ini.