KDM janji bina kompleks sukan mini, naik taraf infrastruktur di Kadamaian

KOTA BELUD: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bertekad memperjuangkan pembinaan kompleks sukan mini di Kadamaian sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bakal calon KDM DUN Kadamaian, Josely Taising berkata, projek itu penting bagi memberi kemudahan sukan kepada penduduk setempat,

Katanya, ini sekali gus menyokong usaha menjadikan Kadamaian sebagai daerah kecil dengan pekan Taginambur sebagai pusat pentadbiran.

“Kita ada cadangan untuk rakyat Kadamaian. Dengan sokongan kuat rakyat, kita yakin hasrat ini dapat direalisasikan.

‘Apa yang penting ialah keberanian rakyat Kadamaian melakukan perubahan dalam PRN akan datang,” katanya dalam catatan di media sosial.

Selain pembangunan sukan, Josely turut menekankan isu infrastruktur, antaranya menaik taraf Jalan Taginambur –Pomotodon–Tiong–Komburaon yang terjejas akibat tanah runtuh.

Beliau juga komited memperjuangkan pembinaan jambatan gantung merentasi Sungai Maranggoi di Kampung Bukid.

Dalam bidang kesihatan, KDM katanya akan mendesak agar penaiktarafan Klinik Kesihatan Taginambur dipercepatkan termasuk penempatan doktor pakar demi manfaat masyarakat setempat.