Sabah Mahu Tambah Kerusi Parlimen, Selaras Semangat MA63 – Hajiji

KUCHING: Sabah mengutarakan cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi negeri itu dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, cadangan itu selaras dengan semangat MA63 dan bagi memperkukuhkan kepentingan negeri serta rakyat Sabah.

Menurut beliau, Perdana Menteri secara prinsipnya bersetuju, namun perkara itu memerlukan perbincangan lanjut di peringkat teknikal kerana melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Inilah sebabnya hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan amat penting,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat yang berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi, di sini.

Dalam mesyuarat yang berlangsung dalam suasana mesra itu, Sabah turut mencadangkan agar sektor pelancongan dimasukkan dalam senarai bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Cadangan tersebut juga akan dibawa ke jawatankuasa teknikal untuk perbincangan lanjut.

Sementara itu, Hajiji turut mengalu-alukan pelancaran projek Jalan Penghubung Sabah-Sarawak Fasa 2 (SSLR 2) bernilai RM7.6 bilion yang diumumkan hari sama.

Katanya, projek itu akan memperkukuh hubungan antara Sabah dan Sarawak serta merangsang pertumbuhan ekonomi melalui sektor perdagangan dan pelancongan.

Mesyuarat MTPMA63 turut dihadiri delegasi Sarawak yang diketuai Premier Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.