KOTA KINABALU: Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah kali ke-28 yang berakhir malam tadi melahirkan beberapa resolusi penting sebagai asas kepada penambahbaikan pentadbiran daerah dan pelaksanaan pembangunan luar bandar di negeri ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Jahid Jahim ketika menyempurnakan majlis penutupan berkata, antara resolusi utama yang dipersetujui ialah keperluan menilai semula penstrukturan daerah secara menyeluruh, termasuk isu perjawatan dan persempadanan daerah.
“Perkara ini penting supaya pentadbiran daerah benar-benar mempunyai kapasiti dan keupayaan melaksanakan tanggungjawab yang semakin mencabar,” katanya dalam ucapannya.
Selain itu, persidangan turut memberi penekanan kepada pendekatan baharu dalam pelaksanaan program Basmi Miskin Tegar (BMT) agar manfaatnya benar-benar sampai ke akar umbi rakyat.
Antara resolusi yang dicapai ialah pewujudan jawatankuasa khas berfokuskan BMT di peringkat daerah bagi menangani isu kemiskinan luar bandar secara lebih menyeluruh dengan penglibatan JKKK serta ketua kampung.
“Perincian program akan dibincangkan bersama mereka kerana mereka paling dekat dengan masyarakat luar bandar,” jelas Jahid.
Persidangan itu turut menekankan aspek integriti apabila Kementerian Kewangan mengingatkan pegawai daerah agar lebih berhati-hati dalam pengurusan kewangan bagi mengelakkan isu ketidakpatuhan prosedur seperti yang termaktub dalam AP59.
Jahid menegaskan semua resolusi yang dibentangkan akan dipantau secara rapi dan perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata, bukan sekadar tinggal di atas kertas. “Saya minta Setiausaha Tetap KPLB memastikan resolusi ini benar-benar menjadi teras memperkukuhkan pentadbiran daerah dan memajukan pembangunan luar bandar di Sabah,” tegasnya.
